Syarikat besar perlu bekerjasama majukan industri automotif

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyeru agar semua syarikat besar di negara ini untuk saling bekerjasama dalam membangunkan semula industri automotif negara yang kini beransur pulih daripada pandemik Covid-19.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerjasama semua pihak itu penting kerana industri automotif pada tahun ini dijangka mengalami pertumbuhan sekitar 17.9 berdasarkan unjuran oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Beliau berkata, berdasarkan ramalan MAA juga, jumlah keseluruhan industri (TIV) pada tahun ini dijangka meningkat kepada 600,000 berbanding 508,911 unit yang dicatatkan tahun lepas.

“Pihak Perodua pula mensasarkan peningkatan jualan sebanyak 247,800 unit, iaitu 30.2 peratus bagi tahun ini berbanding 190,291 kenderaan pada tahun lepas,”katanya pada Majlis Pelancaran Perodua Alza serba baharu di Kuala Lumpur Convention Center (KLCC) di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, pihaknya yakin, sasaran itu dapat dicapai berikutan pertumbuhan industri automotif negara yang memberangsangkan pada suku pertama tahun ini dengan 61,624 kenderaan didaftarkan.

Katanya, jumlah tersebut adalah peningkatan sebanyak 6.4 peratus berbanding 57,909 kenderaan yang dijual antara Januari dan Mac tahun lepas.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga telah melaksanakan pelbagai langkah strategik dalam berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global seperti krisis geopolitik dan perubahan iklim ketika ini.

Namun katanya, usaha itu tidak boleh dilakukan secara sendirian tanpa kerjasama dengan pihak swasta bagi mengukuhkan lagi ekonomi negara.

“Justeru, saya ingin menyeru agar syarikat-syarikat besar negara untuk saling bekerjasama dalam mencapai lebih banyak kejayaan untuk dimanfaatkan oleh seluruh Keluarga Malaysia,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Automotif