U-Bes bantu belia ceburi industri automotif

KOTA BHARU: Biarpun peluang pekerjaan di Kelantan tidak sehebat di negeri-negeri maju di Pantai Barat, namun usaha untuk membantu golongan belia membina kerjaya sentiasa diadakan.

Antaranya melaksanakan kursus-kursus kemahiran, mewujudkan rangkaian Stesen Mek Awey dan program penempatan pekerjaan industri sebagai inisiatif mewujudkan peluang pekerjaan.

Pengarah Urus Setia Belia dan Sukan (U-Bes) Nasruddin Mahmud Muhaidin berkata, pihaknya mengadakan kerjasama dengan pelbagai agensi dan syarikat untuk membantu belia yang mencari kerja.

Advertisement

Katanya, terbaharu U-Bes menjalin Kerjasama bersama Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan penyedia latihan Sei Ryu Sha Sdn Bhd.

“Kerjasama itu bagi menempatkan golongan belia dalam industri automotif,” katanya pada program taklimat program Penempatan Pekerjaan Industri Automatif (PPI-A) di sini semalam.

Program itu dihadiri 57 peserta di mana taklimat disampaikan oleh Pengurus Pusat Bertauliah Sei Ryu Sha Wan Yusoff Wan Ismail.

Nasruddin juga berkata, peserta yang menyertai program tersebut akan diberikan Penganugerahan Pensijilan Kemahiran Malaysia secara modular dan kos pensijilan dibiayai oleh ECER-UMT.

Di samping itu beliau setiap peserta program juga akan mendapat jaminan status pekerja tetap.

Sementara itu kerajaan Kelantan juga mewujudkan zon industri automotif di Bandar Baharu Tunjong, di mana sekarang sedang pesat membangun.

Beberapa syarikat pengeluar kenderaan terkenal membina ruang pameran, pusat jualan dan servis di lokasi terbabit termasuk Honda Ban Chu Bee Sdn Bhd, Proton dan Hino.

Manakala Mazda Sales And Service Kelantan dan Perodua Sdn Bhd pula terletak di Batu 4 Jalan Kuala Krai, Tunjong.

Zon Automobil Bandar Baharu Tunjung menawarkan banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak muda tempatan. – HARAKAHDAILY 13/6/2022

Automotif